17.4.08

Kenangan

Kenangan semalam....
masih kuat menggayuti di minda
walau dicuba melupainya
namun masih erat genggam tangan ingatan
pada pautan fikiran.

Kenangan semalam,
hadirnya bak pawana
berhembus segar,suci
damai menjengah di kalbu.
Seperti hembusan pawana juga
ia berlalu
meninggalkan haruman kerinduan
bersama layangan daun-daun...
bahagia.

Tika ini,
kala sunyi bertandang bilik diri
ia datang lagi
diiring banjiran senyuman
melimpah di wajah
mengapung ketenangan.
Tapi kusedar kenangan selamanya kenangan
kerna hari esok bakal mencipta ribuan kenangan
harus sedar hidup mesti diteruskan
kerna diri memerlukan pengalaman
untuk hidup di bumi Tuhan!

23 Julai 2005
MakLaN

16.4.08

Tenaga Yang Mengajar

Kalau dilihat menara yang tinggi
Jurutera binaan dipuji-puji
Kalau didengar nyanyian bergema
Empunya suara dipuja-puja
Kalau mendaki gunung mendongak
Kaki dibangga mengaku riak

Maka runtuhlah menara terpuji
Pecah suara nyanyian terpuja
Patah kaki pendaki riak

Jika tanpa tenaga
Yang memberi jiwa
Tenaga yang memesan
Tenaga yang mengajar
Yang menerangkan
Setiap ketika
Apa perlu dilakukan manusia

Kitab dibuka tidak berguna
Tanpa insan yang memberi makna
Seumur hidup kita terhutang
Jasanya banyak bergunung ganang
Mengajar agama dan ilmu hisab
Menjaga akhlak sentiasa beradab

Insan ini terus dilupa
Oleh yang penat menuntut ilmu
Dari buah fikiran seorang guru

Guru,
Mulanya bangsa mulia
Berjasa


Izzudin, 15 April 08

8.4.08

Kata Penuh Makna

Ligat bergerak lidah manusia
Petah bicara
Omong ringan perwira dunia
Mengubah segalanya
Menang jawatan tinggi angkasa
Hanya kerana kata-kata
Sepatah diucap penuh makna
Sekadar bijak bermain bahasa

Lihat guru ajar si kutu
Terus berubah semangat jitu
Lihat bapak ajar si anak
Terus pandai bebas bergerak
Lihat raja membimbing rakyat
Maju negara sepanjang hayat
Jika tidak tahu bahasa
Langsung gagal segala usaha

Mungkin darjat tidak bermakna
Tanpa kuasa tidak mengapa
Namun satu benda, jangan kau lupa
Bahasa sentiasa tersemat di jiwa

Kelu lidah kamu
Pilu, hati tak terdetik, hanya terpaku
Minda kosong penuh debu
Retak otak, tak berguna
Bukan sifat yang terkurang
Tiada cacat tiada cela
Patah semua semangat manusia
Tanpa bahasa hilang bangsa

Izzudin, 1 April 2008